Monday, April 6, 2009

BERITA PUSAT ZAKAT MELAKA


Jawatankuasa Syariah telah mengeluarkan fatwa menurut seksyen 33 (6), enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Melaka 1991. Menurut fatwa tersebut, zakat ke atas pendapatan bagi pengajian (gaji tahunan, tunggakan gaji, pelbagai elaun & lain-lain ganjaran seperti bonus dan sebagainya) adalah wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam yang layak bagi seluruh negeri Melaka.


Pada Ogos 2004, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Hj Ahmad Rusli bin Joharie telah menguatkuasakan perlaksanaan arahan wajib pembayaran zakat pendapatan menerusi skim potongan gaji bagi kakitangan kerajaan negeri Melaka. Kerajaan Negeri Melaka juga bercadang untuk melaksanakan perlaksanaan tersebut di dalam sektor kilang dan swasta.

Walau bagaimanapun sehingga bulan Oktober 2006, penyertaan umat Islam dalam melunaskan zakat pendapatan adalah tidak begitu memberansangkan. PZM sehingga kini baru menerima 3,622 orang pekerja Islam dari sektor kerajaan yang menyertai skim potongan zakat gaji berbanding dengan jumlah pekerjanya seramai 22,617 orang iaitu secara kesimpulannya hanya 16% sahaja pekerja Islam dari sektor kerajaan yang melunaskan zakat gaji. Namun begitu, walaupun perlaksanaan arahan wajib belum dilaksanakan di sektor kilang tetapi sokongan dan kerjasama daripada pihak tersebut amat menggalakkan. Antara kilang yang telah memberikan kerjasama yang baik ialah Infineon Technologies (M) Sdn Bhd, Hartasuci Sdn Bhd dan Ornasteel Ent. Corp. (M) Sdn Bhd. Ini dapat memperlihatkan kita bahawa kerjasama dan sokongan daripada majikan amat perlu untuk menjayakan skim potongan zakat gaji.

Pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh Pusat Zakat Melaka (PZM) untuk memberi kesedaran kepada umat Islam di seluruh negeri Melaka. Antara program yang dijalankan ialah ceramah, taklimat, hi-tea dan pelbagai kempen-kempen lain. PZM menyeru umat Islam di seluruh negeri Melaka supaya dapat menjalankan kewajipan mereka bagi mengeluarkan zakat pendapatan.

 
© Copyright by SeJeNaK MeNcARi CaHaYa  |  Template by afis7896