Tulisan Arab
Nabi Muhammad s.a.w. telah diutuskan kepada satu umat yang kebanyakannya buta huruf (tidak boleh membaca dan menulis), tidak boleh mengira bahkan hampir tidak boleh mengenal sesuatu bentuk tulisan. Antara yang boleh menulis sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul ialah Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Abu Sufyan bin Harb, Mu'awiyah bin Abi Sufian, Abban bin Said dan al-'Ala' bin al-Hadrami. Semuanya dari kalangan penduduk Mekah al- ukarramah manakala dari kalangan penduduk Madinah pula ialah Amru bin Said, Ubai bin Ka' ab, Zaid bin Thabit dan al-Munzir bin Amru.
Setelah Rasululah s.a.w. berhijrah ke Madinah, Baginda telah menggalakkan penulisan dan mendorong agar umat Islam belajar menulis sehingga mensyaratkan setiap orang tawanan Perang Badar dari kalangan orang Quraisy Mekah yang ingin dibebaskan hendaklah terlebih dahulu mengajar sepuluh orang kanak-kanak Islam di Madinah. Melalui usaha ini, Baginda mengharapkan berlakunya pertambahan jumlah penulis di kalangan masyarakat Islam. Akhimya Rasulullah s.a.w. mempunyai lebih daripada 40 orang penulis (kebanyakannya penulis wahyu) sebelum al-Quran sempurna diturunkan kepada Baginda.